MYR - Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

MYR - Ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarkat (AS) berikutan kurangnya momentum belian ke atas nota tempatan, sebaliknya minat beralih kepada dolar susulan pulangan Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan disebut pada harga 3.9710/9750 berbanding 3.9670/9710 yang direkodkan pada penutupan semalam.

Peniaga berkata, dolar AS dan pulangan Perbendaharaan AS yang mendadak terus menjejaskan nota tempatan.

"Namun harga minyak yang lebih tinggi menjadikan ringgit kurang terdedah kepada kejutan luar, namun sukar untuk menentukan arah tuju semasa apabila pulangan AS semakin tinggi," katanya.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan ekonomi Malaysia meningkat 5.4 peratus pada suku pertama 2018 berbanding 5.6 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Bank pusat juga berkata ringgit menyusut 6.2 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama 2018.

"Ringgit kekal berdaya tahan pasca PRU14," kata Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, nota tempatan didagangkan kebanyakannya lebih rendah, kecuali yen, yang naik kepada 3.5801/5846 daripada 3.5836/5878.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9588/9640 daripada 2.9558/9599 pada Khamis dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.3664/3726 daripada 5.3543/3612 dan rendah berbanding euro pada 4.6878/6933 daripada 4.6815/6878. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini