KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari pertama dagangan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pada penutup hari ini, mata wang tempatan berada pada paras 3.9505 berbanding satu dolar AS, lebih rendah berbanding penutup pada Selasa lalu, 3.9497.
Ia berlegar antara 3.9425 hingga 3.9875 sedolar selepas dibuka rendah pada paras 3.9848.
Ketua Strategi dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata keputusan cuti umum selama dua hari selepas PRU-14 dilihat berjaya mengekang kejutan tidak dijangka keputusan pilihan raya umum itu dengan pasaran Malaysia menunjukkan petunjuk pelabur panik yang rendah apabila dagangan dibuka hari ini.
Beliau berkata, ringgit hanya jatuh 0.9 peratus pada awal dagangan hari ini, yang mana boleh diambil kira sebagai kejatuhan kecil bagi mata wang tempatan memandangkan pasaran tidak menjangkakan Barisan Nasional (BN) kalah selepas enam dekad memerintah negara ini.
"Peralihan kuasa yang agak lancar untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri adalah pemangkin di belakang kejatuhan ringgit yang lebih kecil daripada dijangkakan.
"Ini mengurangkan kebimbangan bahawa Malaysia berada dalam tempoh ketidakpastian," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas mengenai prestasi ringgit.
Jameel berkata, FXTM melihat kemungkinan ketidakpastian hasil pilihan raya akan terus reda yang mana akan memberi peluang ringgit untuk pulih.
Beliau berkata, menjelang akhir minggu ini, pihaknya menjangkakan pasaran akan mula memberi tumpuan dalam aspek makro ekonomi Malaysia.
Katanya, perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijadualkan diumumkan Khamis ini dijangka akan terus menunjukkan ekonomi negara terus berkembang kukuh.
"Walaupun terdapat kemungkinan yang jelas bahawa pertumbuhan tidak akan dapat mengatasi prestasi luar biasa yang dilihat tahun lalu, angka pertumbuhan utama akan sekitar lima peratus, yang memberi petunjuk kepada pelabur antarabangsa bahawa prestasi ekonomi domestik masih konsisten melangkaui pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan negara maju," katanya.