Nilai ringgit dijangka lemah lebihi RM4 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit dijangka lemah lebihi RM4 sedolar



KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka susut ke paras melebihi RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam jangka terdekat susulan tekanan jualan yang dipengaruhi faktor luaran dan domestik, kata penganalisis.

Prestasi mata wang tempatan itu dijangka meneruskan momentum penurunan nilai berbanding dolar AS dalam jangka pendek, sebelum kembali pulih dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Sehingga jam 5 petang tadi, ringgit berada pada paras RM3.9892 berbanding dolar AS.

Ketua MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata prestasi ringgit bukan hanya dipengaruhi faktor dalaman seperti pertukaran pentadbiran kerajaan baharu, pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan nilai hutang negara tetapi turut dipengaruhi dengan faktor geopolitik luar negara.

"Drama politik di Eropah, Itali dan Sepanyol; dolar AS yang semakin mengukuh serta perbincangan mengenai Perang Dagangan antara AS dan China yang masih tertangguh turut mempengaruhi prestasi mata wang itu.

"Pada masa sama, peralihan pentadbiran kerajaan baharu dan pengumuman yang dibuat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) termasuk perubahan dasar, polisi dan perundangan banyak mempengaruhi sentimen pelabur serta prestasi pasaran," katanya ketika dihubungi NSTP.

Bagaimanapun, Mohd Redza berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan prestasi ringgit akan terus lemah disebabkan perubahan kerajaan kerana peralihan pentadbiran baru memasuki tempoh awal.

"Baru kira-kira tiga minggu kerajaan bertukar tangan, jadi masih terlalu banyak yang perlu dibincangkan. Malah, MPK sendiri menerima mandat selama 100 hari untuk meneliti pelbagai aspek termasuk pertumbuhan ekonomi negara.

"Justeru, kita perlu memberi peluang kepada kerajaan baharu untuk membuktikan keupayaan mereka dan meraih semula keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara," katanya.

Sementara itu, penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli, berkata gabungan faktor luaran dan dalaman sangat mempengaruhi pergerakan ringgit terutama prestasi harga minyak dunia.

"Gabungan faktor luaran dan dalaman akan memberi impak negatif kepada ringgit dan keyakinan pelabur seterusnya menyebabkan mata wang tempatan itu meneruskan momentum menurun kebelakangan ini.

"Namun, ringgit masih mempunyai nilai dan secara keseluruhan ia tidak akan mencecah paras RM4.10 berbanding dolar AS. Prestasi lemah itu disifatkan sementara berikutan ketidaktentuan pentadbiran negara pada masa ini (disebabkan proses peralihan serta tempoh penyesuaian)," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini