Ringgit dijangka cecah RM3.90 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka cecah RM3.90 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgi berkemungkinan mengukuh kepada RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, menurut Standard Chartered.

Ketua Strategi Pelaburannya, Manpreet Gill, berkata unjuran itu disokong oleh data penyelidikan bank berkenaan bahawa dolar AS akan terus lemah dalam tempoh 12 bulan berikutnya walaupun ekonomi negara berkenaan mengukuh.

"Kami percaya bahawa dolar akan terus mengukuh dalam tempoh terdekat tetapi kami mempunyai kecenderungan bahawa ia akan menyusut dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya kepada media sempena penerangan Unjuran Pasaran Global bagi Separuh Kedua oleh Standard Chartered semalam.

"Kami percaya data ekonomi kawasan di Eropah yang mengecewakan berkemungkinan tidak akan berlanjutan pada separuh kedua, dan ia bermakna tumpuan pasaran akan kembali apabila Bank Pusat Eropah (ECB) menaikkan kadar faedah.

"Ini sudah tentu akan meletakkan lebih tekanan ke atas mata wang Euro dan mengurangkan tekanan ke atas dolar," katanya.

"Belanjawan berkembar AS dan defisit dagangan juga menjadi antara sebab lain bagi dolar AS untuk merosot," tambahnya.

Dolar susut sebanyak 13 peratus sejak awal 2017 tetapi kembali melonjak berikutan pengurangan jangkaan pertumbuhan di kawasan Eropah.

Ia juga menyebabkan ECB untuk menolak jangkaan kenaikan kadar faedah bagi kawasan di Eropah.

Manpreet berkata, dalam kalangan persekitaran global masa kini yang meyakinkan, ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa jika Malaysia tidak menunjukkan prestasi yang baik.

"Kisah Malaysia dalam konteks global adalah menarik dan kami percaya prestasi dolar adalah faktor tunggal yang paling penting kerana apabila dolar menyusut, ringgit akan mengukuh," katanya.

"Selain daripada itu, Malaysia juga memunyai banyak pegangan asing dalam pasaran bon. Kami percaya aliran masuk asing itu ke dalam pasaran bon akan kembali disebabkan oleh pelbagai faktor.

"Pertamanya, dolar yang semakin lemah dan seterusnya adalah bon kerajaan Malaysia yang tipikal memberikan hasil sebanyak empat peratus dan ia adalah lebih tinggi berbanding bon Eropah," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini