KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka menyusut kepada RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir suku ketiga tahun ini dan RM4.11 pada suku keempat 2018.
Menurut analisis Trading Economics yang berpusat di New York, ringgit boleh berlegar sehingga RM4.19 berbanding dolar AS dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan dolar AS akan terus mengukuh berbanding mata wang lain sepanjang tahun ini.
“Kami percaya Rizab Persekutuan AS akan terus meningkatkan kadar faedah lebih cepat berbanding bank pusat yang lain menjadikan aset denominasi dalam dolar AS paling menarik dari segi perbezaan hasil.
“Di samping itu, dengan menghapuskan lebihan kecairan monetari daripada sistem kewangan akan menjadikan pasaran saham lebih terdedah dan pulangan risiko dijangka memacu dolar AS lebih tinggi memandangkan pelabur memilih keadaan yang paling selamat,” katanya dalam semakan unjuran di laman webnya di sini hari ini.
Hari ini, ringgit ditutup pada RM4.0360 setelah dibuka rendah pada RM4.042 berbanding dolar AS.
Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0410 berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut apabila dolar AS menyusut susulan tempoh pelaksanaan tarif perdagangan oleh AS ke atas import barangan China yang kian memuncak.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini memberitahu rizab antarabangsa setakat 29 Jun 2018 berjumlah AS$104.7 bilion (RM423.05 bilion) menyusut berbanding ASS$107.9 bilion (RM435.98 bilion) pada 14 Jun 2018.
Katanya, rizab itu mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan nilai dolar AS berbanding pelbagai aset rizab mata wang asing yang dipegang oleh BNM.
“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek,” jelas BNM.
Di Washington, Presiden Trump melancarkan perang perdagangan global ke atas China apabila mengenakan tarif import bernilai AS$34 bilion (RM137.31 bilion), yang pastinya akan diserang balas oleh China.
AS juga akan mengenakan satu lagi tarif bernilai AS$16 bilion (RM64.62 bilion) dalam tempoh dua minggu lagi, menjadikan keseluruhan nilai tarif ke atas China kemungkinan mencecah lebih AS$550 bilion (RM2.22 trilion), melebihi jumlah barang import AS dari China pada tahun lalu.
Malah, ini merupakan kali pertama AS mengenakan tarif secara langsung ke atas produk China selepas beberapa bulan Trump menuduh negara tersebut mencuri harta intelek dan memburukkan lagi perdagagan defisit AS.
Berdasarkan laporan Reuters, analisis DBS Bank yang berpangkalan di Singapura menunjukkan Korea Selatan, Malaysia, Taiwan dan Singapura adalah negara ekonomi paling berisiko di rantau Asia dengan mengambil kira perdagangan terbuka dan pendedahan kepada rantaian bekalan.
Susulan itu, pasaran tempatan, indeks FBM KLCI hari ini menyusut 26.79 mata ke paras 1,663.86 mata walaupun setelah dua hari mencatat peningkatan pada 1,690.95 mata berbanding Rabu yang ditutup pada paras 1,688.45 mata.
Singapura pula mencatat penurunan dua mata apabila pasaran dibuka pada sesi pagi, iaitu paling rendah dalam tempoh 14 bulan terutama disebabkan oleh saham hartanah dan kewangan. Petang ini, ia ditutup pada paras 3,191.82 mata setelah menyusut 64.89 mata.
Ketua Global Penyelidikan Pasaran dan Strategi Kewangan FXTM, Jameel Ahmad berkata, terdapat beberapa risiko kepada pasaran berikutan tindakan Trump itu dengan pasaran mata wang negara baharu muncul dan pasaran saham akan terus bergelut susulan persekitaran perdagangan yang tidak memberangsangkan.
“Bagaimanapun, dengan melihat kepada transformasi sentimen pelabur yang cenderung kepada dolar AS, mereka amat positif terhadap ekonomi AS.
‘‘Ini tidak dapat dinyatakan sama ada ia berita yang baik untuk ringgit ataupun tidak, termasuk juga pasaran baharu muncul terutama untuk mendapat sedikit manfaat daripada mata wang Turki, lira berikutan kemenangan Recep Tayyip Erdogan sebagai Presiden.
“Ini kerana pada momentum belian bagi dolar AS yang terkini menunjukkan pelabur sedia ada menganggap ekonomi AS tidak akan menerima impak negatif daripada perang perdagangan global menjadikan dolar AS semakin mengukuh, jika Trump meneruskan rancangannya terhadap ekonomi utama seperti China dan Eropah,” katanya.
Menurut Jameel, sekiranya pasaran saham Asia terus lemah, apatah lagi dengan tarif AS ke atas China, terdapat kemungkinan berlaku pula impak negatif ke atas pasaran saham Eropah.