KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh kepada purata antara RM3.20 hingga RM2.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, disokong oleh lebihan dagangan serta usaha kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mantap.
Pengarah Urusan Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM), Teng Chee Wai, berkata pada masa ini, ringgit adalah antara mata wang yang menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding mata wang negara serantau kerana Malaysia masih mempunyai lebihan dagangan yang besar.
Katanya, lebihan dagangan itu mencerminkan keadaan ekonomi negara yang lebih diversiti.
"Jika dilihat kepada lebihan dagangan dan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan, ia diyakini akan menjana pertumbuhan pada masa akan datang.
"Ini akan menyumbang kepada kepada pengukuhan ringgit. Ringgit dijangka mengukuh kepada RM3.20 dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," katanya pada Forum Affin Hwang AM Investment 2018, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baharu, Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan pergerakan ringgit selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) apabila ringgit mengukuh kepada purata RM3.10 hingga RM3.20.
"Semasa PRU13, ringgit berlegar berada pada paras RM3.10 hingga RM3.20 berbanding dolar AS, namun ia merosot apabila terkesan berikutan krisis minyak global.
"Keadaan bertambah buruk selepas kemunculan persepsi terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2015 serta beberapa isu lain. Namun isu 1MDB sudah didedahkan secara umum dan tiada lagi rahsia mengenainya dan persepsi terhadap Malaysia bertambah pulih," katanya.
Mengulas lanjut, Teng berkata, bagi memastikan ringgit mengukuh pada masa akan datang, kerajaan harus mengutamakan pelaburan langsung asing (FDI) .
"Kerajaan perlu mengutamakan FDI dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada maklum balas pasaran.
"Jika kerajaan terus berjaya meyakinkan pelabur asing, ringgit akan menerima impak positif dan terus mengukuh," katanya.