Bursa Malaysia 1,805 mata, ringgit RM4.0850 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bursa Malaysia 1,805 mata, ringgit RM4.0850



KUALA LUMPUR 10 Ogos – Bursa tempatan terus mencatat prestasi memberangsangkan, sekali gus mengakhiri minggu ini dengan mengukuh 0.80 mata kepada 1,805.75 mata ketika ditutup petang ini walaupun dibuka rendah pada 1,804.27 mata dalam sesi dagangan awal pagi.

Ia menyaksikan 487 kaunter rugi manakala 402 kaunter mencatat untung dan 438 kaunter tidak berubah.

Bagi prestasi ringgit pula, mata wang itu menyusut ke paras RM4.0850 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada ketika ditutup semalam pada RM4.0730.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, ini disebabkan kebimbangan terhadap perang perdagangan antara AS dan China masih wujud.

“Sekiranya tidak meningkat lagi, ia akan menyebabkan minat risiko pelabur kekal terhad bagi beberapa tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu lalu, indeks FBM KLCI melepasi paras 1,800 mata dengan meningkat 13.64 mata kepada 1,804.73 mata daripada 1,791.09 mata ketika ditutup Selasa. Pasaran tempatan jatuh di bawah 1,700 mata sejak 20 Jun lalu sebelum kembali menokok melepasi paras tersebut pada 12 Julai 2018.

Minyak mentah Brent menyusut empat sen kepada AS$72.03 (RM294.06) setong manakala West Texas Intermediate (WTI) merosot lima sen kepada AS$66.76 (RM272.55) setong.

Menurut Ketua Penyelidikan Ekuiti Nomura Malaysia, Tushar Mohata, indeks FBM KLCI boleh mencecah 1,830 mata menjelang hujung tahun ini disokong oleh pembayaran dividen yang lebih kukuh berbanding pertumbuhan pendapatan.

Dalam masa sama, ia juga didorong oleh sektor-sektor seperti saham bank dan pengguna yang turut mengukuhkan keyakinan pengguna.

“Walaupun ini dilihat boleh memberi sokongan kepada pertumbuhan pendapatan dalam beberapa komponen saham FBM KLCI tetapi saham-saham lain seperti telekomunikasi dan utiliti akan terus mengecewakan dari segi pertumbuhan pendapatan.

“Ia juga akan menyaksikan aliran dana kembali masuk ke Malaysia dengan mengambil kira kedudukan ASEAN yang selamat dan mendapat manfaat daripada perang dagangan,” katanya.

Bagaimanapun, Maybank IB Research berkata, Wall Street yang merekodkan prestasi semalaman bercampur-campur, meskipun sentimen positif terhadap catatan keuntungan korporat yang kukuh menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini