KUALA LUMPUR 16 Ogos – Ringgit memulakan sesi dagangan awal pagi ini dengan mencecah RM4.1030 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencatat paras terendah dalam tempoh lapan bulan sejak 29 November 2017.
Bagaimanapun petang ini, ringgit ditutup pada RM4.100 berbanding dolar AS, lebih rendah dari semalam pada RM4.0950.
Pasaran saham tempatan pula meningkat 2.16 mata kepada 1,785.94 mata petang ini yang menyaksikan 434 kaunter untung, 461 kaunter rugi dan 439 kaunter tidak berubah.
Rata-rata penganalisis melihat kelemahan ringgit ketika ini dipengaruhi ketegangan antara AS dan Turki yang turut memberi kesan kepada mata wang pasaran sedang membangun.
Ini kerana Turki merupakan negara ekonomi ke-18 terbesar di dunia dan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tujuh peratus tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, dasar-dasar Presiden Donald Trump yang tidak jelas terutama dengan China dan Turki ini akan terus memberi kesan kepada ringgit.
Katanya, keadaan ini secara dasarnya amat membimbangkan dalam tempoh jangka pendek dan jika tidak ditangani dengan baik ia kemungkinan akan membawa kepada krisis ekonomi.
“Bagaimanapun, saya melihat tiada tanda-tanda berlakunya krisis yang seumpamanya kerana keadaan sekarang sangat tidak menentu disebabkan dasar Trump yang tidak jelas memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia.
“Cuma apabila dolar AS yang semakin mengukuh, ringgit tidak terkecuali menerima tekanan. Dalam konteks ini juga, mata wang Turki menerima impak paling teruk. Kita bimbang selepas China dan Turki, ia mungkin merebak ke pasaran negara-negara Eropah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Turki membuat tindakan balas dengan memboikot produk elektronik dari AS termasuk Apple selepas negara ekonomi dunia itu mengenakan sekatan dan kenaikan tarif ke atas Turki berikutan penahanan seorang paderi AS.
Pengiraan oleh Bloomberg menunjukkan senarai barang itu menyumbang AS$1 bilion daripada import tahun lalu menyamai jumlah eksport keluli dan aluminium Turki yang dikenakan tarif lebih tinggi oleh Trump minggu lalu.
Selain itu, Turki juga akan mengenakan tambahan 50 peratus cukai ke atas beras AS, 140 peratus ke atas alkohol dan 120 peratus terhadap kereta. Ia juga melibatkan tambahan caj ke atas kosmetik, tembakau dan sesetengah produk makanan AS.
Ketua Strategi Kewangan Global dan Pasaran Kewangan FXTM, Jameel Ahmad berkata, pasaran global sepanjang minggu ini mungkin ditentukan oleh tekanan luar dengan sebahagian besar didorong oleh ketegangan risiko krisis lira.
Katanya, ancaman kepada ringgit akan menyaksikan pelabur terus kekal berisiko dalam tempoh ini dengan pengurangan yang ketat dalam dagangan terhadap aset pasaran baharu muncul.
“Ini bermakna dalam pasaran kewangan ekonomi baharu muncul seperti ringgit dilihat kurang menarik kepada pelabur dan jika mata wang Turki, lira terus membimbangkan pelabur seperti mata wang baharu muncul yang lain, ia akan tertekan dalam persekitaran yang berisiko,” katanya.