Ringgit dijangka susut kepada RM4.30 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka susut kepada RM4.30



KUALA LUMPUR 23 Jan. - Standard Chartered Global Research menjangkakan ringgit menyusut kepada RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama tahun ini dan terus lemah sehingga RM4.30 menjelang akhir 2019.

Ketua Ekonominya bagi ASEAN dan Asia Selatan, Edward Lee berkata, aliran ma­suk portfolio kekal lemah di tengah-tengah kebimbangan fiskal dan penurunan dalam indeks bon Malaysia.


Katanya, nilai ringgit masih di bawah nilai, tetapi beliau melihat terdapat sedikit pemangkin untuk pemulihan.

“Harga minyak sawit mentah yang rendah, eksport utama, juga tidak membantu,” katanya dalam Unjuran Ekonomi-Fokus Global 2019 di sini hari ini.

Petang selasa,ringgit ditutup pada RM4.13 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada Jumaat lalu pada paras RM4.11. Semalam, pasaran ditutup berikutan cuti umum Thaipusam.


Dalam pada itu, Standard Chartered Global Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang kepada 4.9 peratus pada 2019 berbanding 4.7 peratus direkodkan pada 2018.

Permintaan pengguna diunjur kekal menjadi tunggak pertumbuhan utama pada 2019 dipacu oleh pasaran buruh yang baik, perubahan cukai menggalakkan, pembayaran balik cukai dan peningkatan gaji minimum.

Jelas Edward, penggunaan kerajaan boleh dihalang oleh penurunan dalam peruntukan perbelanjaan operasi tidak termasuk bayaran balik cukai sebanyak RM37 bilion.

Tambahnya, prospek pela­buran juga malap. Pasaran hartanah kediaman dibebani dengan inventori yang tinggi sementara pembinaan kediaman telah menguncup selama tiga suku berturut-turut pada 2018.

“Projek kejuruteraan awam menyokong pembinaan secara keseluruhan, tetapi fiskal yang ketat dan pembatalan projek-projek mega boleh mengurangkan sokongan pada 2019.

“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil pada 2019.

“Risiko kepada pertumbuhan Malaysia adalah berat sebelah menuju ke bawah, pada pandangan kami. Pertama, konflik perdagangan AS-China boleh menjejaskan perdagangan global dan sentimen pelaburan (walaupun Malaysia berpotensi boleh mendapat manfaat daripada pesanan AS yang terpesong daripada China),” katanya.

Mengenai konflik dagangan AS-China, ia dilihat boleh menjejaskan perdagangan global dan sentimen pelaburan sekalipun Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada tempahan AS.

Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia turut terjejas oleh permintaan luar yang menurun.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini