Ringgit mungkin terus menjadi lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mungkin terus menjadi lemah



KUALA LUMPUR - Ringgit dan mata wang serantau akan terus ber­depan prospek mencabar berikutan tekanan dalam pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu.

Ini dapat dilihat dalam tempoh beberapa hari dagangan di awal tahun baharu apabila pasaran kewangan tidak menunjukkan reaksi yang baik dengan menyaksikan jualan saham-saham global dan kejatuhan mendadak dalam pasaran kewangan, jelas Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad.


Keadaan ini katanya, membawa kepada kerugian kepada beberapa mata wang termasuk pound, dolar Australia dan lira manakala yen pula melonjak.

“Walaupun ringgit dan mata wang Asia dapat menjauhkan diri daripada kejatuhan mendadak dalam pasaran yang tidak terjejas tetapi persekitaran berisiko yang berpanjangan akan memberi kesan kepada jangkaan terhadap pusingan jualan dalam pasaran baharu muncul.

“Kita mungkin boleh melihat ringgit akan jatuh di bawah paras RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan memandangkan jangkaan pasaran menunjukkan ringgit semakin lemah mencecah RM4.20 dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Petang Jumaat ,ringgit ditutup pada RM4.1370 berbanding dolar AS.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan bulanan me­nunjukkan pasaran kewangan domestik pada November mencatatkan aliran keluar portfolio bukan pemastautin disebabkan ketidakpastian berhubung perkembangan luaran.

Pada bulan itu, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.1 peratus di tengah-tengah aliran keluar portfolio bukan pemastautin. Aliran keluar ini didorong oleh sentimen penghindaran risiko pelabur disebabkan bimbang terhadap ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan jangkaan bahawa kadar faedah AS dinaikkan pada masa hadapan.

Indeks FBM KLCI pula menyusut 1.7 peratus disebabkan aliran keluar bukan pemastautin seba­nyak RM700 juta memandangkan para pelabur terus berhati-hati dalam keadaan pasaran ekuiti global yang terus tidak menentu dan penurunan harga minyak mentah.

Reuters melaporkan China dan Amerika Syarikat (AS) akan meng­adakan perbincangan dagangan peringkat menteri di Beijing pada 7 hingga 8 Januari memandangkan kedua-dua pihak mahu me­ng­akhiri konflik yang menjejaskan kedua-dua negara ekonomi itu hingga menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota kajiannya berkata, pertumbuhan ekonomi domestik masih dalam keadaan baik walaupun berlaku ketidaktentuan pasaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan langkah-langkah oleh kerajaan baharu seharusnya dipenuhi dengan baik bagi memastikan struktur ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.

“Bagaimanapun, dengan defisit fiskal yang samar, kedudukan fiskal yang lemah akan menyebabkan Malaysia terdedah kepada ketidaktentuan luaran dan begitu juga dengan kitaran jangka pendek yang kekal mencabar,” katanya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini