Ringgit dibuka rendah sedikit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah sedikit



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan pagi ini diheret oleh penurunan harga minyak, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan kepada 4.0880/0950 berbanding 4.0830/0880 ketika penutupan pada Isnin.

Beliau berkata, harga minyak turun hari ini, berikutan kebimbangan terhadap pusingan seterusnya perbincangan perdagangan antara AS dan China.

“Pelabur kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang perbincangan perdagangan akan datang antara AS dan China di Washington pada minggu ini,” katanya.

Dilaporkan perbincangan perdagangan antara AS dan China minggu lalu di Beijing berjalan lancar dan pelabur menaruh harapan yang kedua-dua pihak akan mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir 1 Mac.

Pada masa berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent adalah AS$66.40 setong.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0121/0177 berbanding 3.0100/0145 semalam, turun berbanding pound British kepada 5.2784/2895 daripada 5.2724/2797.

Mata wang tempatan juga menyusut berbanding euro kepada 4.6211/6294 daripada 4.6195/6264 dan turun berbanding yen jepun kepada 3.6969/7045 daripada 3.6934/6982 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini