Ringgit ditutup pada paras tertinggi sejak 1 Ogos - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup pada paras tertinggi sejak 1 Ogos



KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah yang stabil, sentimen pasaran Malaysia yang positif serta keyakinan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, mendorong ringgit untuk ditutup pada tahap tertinggi dalam tempoh lebih enam bulan, hari ini.

Pada jam 5 petang, ringgit melonjak 140 mata asas, atau 18 peratus kepada 4.0640/0700 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830 pada Selasa, paras tertinggi sejak 1 Ogos 2018, apabila ringgit mencecah 4.0640/0680.

Peniaga berkata, harga minyak mentah yang lebih tinggi, yang menyaksikan paras minyak mentah Brent bergerak melebihi AS$66 setong hari ini, terus meningkatkan keyakinan pelabur memandangkan harga minyak yang lebih baik akan meningkatkan hasil negara menerusi minyak dan gas.

"Sementara itu, berita bahawa Malaysia berada di peringkat akhir rundingannya dengan China untuk mendapatkan harga yang lebih rendah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur bernilai AS$20 bilion, juga membantu meningkatkan sentimen pasaran di negara ini," katanya.

Di luar negara, katanya, harapan ke atas kemajuan dalam rundingan perdagangan AS-China yang disambung semula minggu ini, meningkatkan minat pelabur ke atas mata wang pasaran pesat membangun.

"Ini memberi sokongan kepada prestasi ringgit," katanya.

Pada penutupan, ringgit bagaimanapun didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen Jepun.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0066/0115 daripada 3.0052/0093 pada Selasa, merosot berbanding pound Britain kepada 5.2986/3081 daripada 5.2680/2761 dan turun berbanding euro kepada 4.6106/6195 daripada 4.6085/6158.

Berbanding yen Jepun, unit tempatan mengukuh kepada 3.6679/6743 daripada 3.6812/6867 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini