Ringgit : Pantau faktor luaran - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit : Pantau faktor luaran



KUALA LUMPUR 12 Feb. - Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah pada 2.25 hingga 2.5 peratus, 30 Januari lalu me­nyaksikan ringgit mencecah paras lima bulan tertinggi berbanding dolar AS.

Ketika ditutup pada Khamis (31 Januari), ringgit mencecah RM4.08 berbanding dolar AS, tertinggi sejak 10 Ogos 2018.

Malah, ia juga memberi reaksi yang positif kepada pasaran mata wang serantau lain walaupun penganalisis menjangkakan terdapat kemungkinan kadar itu dinaikkan dua kali tahun ini.

Jumaat lalu, ringgit ditutup pada paras tujuh bulan ter­tinggi sejak 20 Julai 2018, iaitu RM4.0670 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, Pengarah Ek­sekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Ismitz Matthew De Alwis berkata, prestasi ringgit masih bergantung kepada persekitaran luaran terutama dipengaruhi oleh prospek kenaikan kadar faedah AS, perdagangan dan pergerakan renminbi.

Pertumbuhan China

Katanya, perkara utama perlu diberi perhatian di pe­ringkat luaran ialah pertumbuhan China yang perlahan dan kelemahan mata wang­nya manakala di peringkat domestik pula, dipengaruhi oleh langkah pengukuhan fiskal, pembaharuan syarikat milik kerajaan (GLC) dan sejauh mana belanjawan dapat menyokong penggunaan swasta.

“Disember lalu adalah bulan paling teruk bagi ekuiti global sejak 2008. Setakat ini, hanya India yang mencatat pres­tasi baik dalam mata wang tempatan iaitu mengukuh 5.9 peratus. Keadaan ini berbeza bagi mata wang lain dengan Shanghai jatuh 24.6 peratus, Korea (17.2 peratus) dan Hong Kong (13.6 peratus).

“Di peringkat domestik, FBM100 jatuh 9.3 peratus manakala FMBSC susut 33.7 peratus. Pasaran pula dijangka terus kekal tidak menentu memandangkan pelabur mencerna kedua-dua aliran positif dan negatif di dalam pasaran,” katanya.

Namun, jelas beliau, pasaran ekonomi baharu boleh mendapat manfaat daripada persekitaran kecairan yang semakin meningkat dan ini mengambil masa disebabkan kadar faedah di AS, perbezaan pertumbuhan yang perlahan antara AS dan pasaran lain di dunia dan pengukuhan dolar AS.

“Tambahan pula, hasil positif daripada rundingan dagangan akan merangsang pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Trading Economics yang berpusat di New York menjangkakan ringgit mencecah RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir suku pertama 2019 manakala dalam tempoh 12 bulan ia diunjur berlegar sekitar RM4.14.

Menurut Maybank Investment Bank Research, ringgit kekal berada di bawah nilai antara tujuh hingga lapan peratus berbanding dolar AS daripada perspektif penilaian, berbanding anggaran nilai saksama firma penyelidikan itu pada RM3.80.

Ia turut menyaksikan ringgit dan aset denominasi ringgit kurang dilaburkan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 dengan pegangan asing dalam hutang Malaysia jatuh kepada paras dua tahun lebih rendah.

Fokus isu utama

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan PH sewajar­nya memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi yang dekat di hati rakyat dan bagaimana ia dapat ditangani seperti kos sara hidup meningkat, harga rumah melampau tinggi, gaji tidak naik dan jurang pendapatan antara penduduk bandar, luar bandar dan miskin bandar.

Katanya, usaha penambahbaikan terhadap sistem monetari negara juga perlu diteruskan supaya lambakan kredit dapat dikawal dan mata wang fiat (iaitu mata wang yang tidak disandarkan dengan sebarang nilai) dapat digantikan dengan mata wang yang ditambat dengan komoditi.

“Selain itu, kerajaan juga harus menangani faktor-faktor ekonomi global seperti ketidaktentuan harga komo­diti, ancaman perang tarif AS-China dan cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 serta ekonomi digital.

“Hentikan seketika bercakap soal hutang memandangkan kerajaan pada masa ini menganggap segala liabiliti dan komitmen yang ditanggung GLC dikira sebagai tanggungan hutang kerajaan hingga menyebabkan hutang kerajaan yang diiktiraf meningkat RM1 trilion,” katanya.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga pula berkata, pertumbuhan global sepanjang tahun ini perlu dipantau terutama kesannya terhadap ekonomi yang terdedah kepada perdaga­ngan luar.

“Bagi Malaysia, kami akan menilai dari segi pelbagai indikator termasuk lebihan akaun semasa, aliran dana asing dan pertumbuhan domestik. Memandangkan Malaysia bergantung kepada permintaan domestik sebagai pemacu pertumbuhan, ia juga melibatkan indeks harga pengguna dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhid­matan (SST).

“Dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan ringgit akan menguji paras sekitar RM4.08 berbanding dolar AS dalam tempoh purata pergerakan 200 hari,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini