Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan penolakan perjanjian Brexit oleh penggubal undang-undang Britain.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0865/0905 berbanding dolar AS daripada 4.0820/0860 pada penutupan Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan luar selepas Ahli Parlimen British menolak tawaran kedua yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Theresa May, menyebabkan impak harga rendah dalam pasaran pertukaran mata wang asing.

"Dan hari ini, Brexit - tiada rundingan - akan menjalani pengundian. Jika ini juga ditolak, undi untuk menangguhkan tarikh Brexit akan dikemukakan.

"Jadi minggu ini adalah minggu Brexit dan reaksi pasaran belum dapat ditentukan lagi,” katanya.

Selain itu, keyakinan pengguna yang semakin merosot di Australia pada Mac dan penguncupan 2.9 peratus yang lebih luas daripada jangkaan bagi Core Machine Order Jepun pada Januari juga memberi impak ketara ke atas penyusutan pasaran mata wang.

“Sekarang ini bukan masa untuk mengambil risiko. Dana asing juga penjual bersih semalam, oleh itu ini mungkin menjadi penyebab ringgit kembali beralih ke arah penyusutan," katanya.

Secara menyeluruh, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0134/0168 daripada 3.0094/0128 dan yen Jepun kepada 3.6706/6752 daripada 3.6646/6692 dan euro kepada 4.6153/6219 daripada 4.6016/6066.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.3668/3729 daripada 5.3899/3972, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini