Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1460/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1720/1750 pada Rabu.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata minat terhadap dolar AS susut secara pantas berikutan keyakinan pasaran bahawa Fed akan mengurangkan kadar faedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Beliau menjangkakan aliran dana akan memasuki pasaran pesat membangun bagi tempoh akan datang, dengan pasaran ekuiti dan mata wang terus meningkat berbanding dolar AS.

“Kelemahan dolar AS akan membawa kepada kitaran terlaras bagi pengukuhan mata wang di seluruh dunia. Peningkatan ini akan turut melibatkan pelbagai mata wang termasuk yuan, ringgit, rand dan peso.

“(Bagaimanapun) perlu diingati bahawa pengurangan kadar faedah pada Julai adalah bergantung kepada hasil mesyuarat G20 antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping,” menurut Lukman dalam nota penyelidikan hari ini.

Semasa penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan rendah berbanding pound kepada 5.2733/2792 daripada 5.2459 / 2505 semalam, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0562/0596 daripada 3.0508 / 0535.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.8453/8494 daripada 3.8476/8515 dan lemah berbanding euro kepada 4.6862/6924 daripada 4.6731/6781.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini