Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan pelabur beralih semula kepada mata wang negara maju itu selepas data jualan runcit diumumkan kukuh oleh Jabatan Perdagangan AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1125/1165 daripada 4.1100/1130 berbanding dolar AS ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, data runcit Jun, yang menunjukkan jualan meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan, adalah petunjuk bahawa ekonomi AS bersedia untuk berkembang lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemungkinan pengurangan kadar faedah dan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia yang tidak menentu terhadap pengenaan duti ke atas barangan China oleh AS dijangka melemahkan pergerakan dolar dalam jangka terdekat.

“Malaysia memerlukan pemangkin mapan untuk menarik pelabur asing kerana kita kini bergantung kepada sama ada minyak mentah atau komoditi yang kini mengalami aliran rendah,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.1003/1057 daripada 5.1161/1211 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.6122/6183 daripada 4.6155/6205.

Mata wang tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0221/0255 daripada 3.0276/0303 ketika ditutup semalam serta stabil berbanding yen kepada 3.7991/7031 daripada 3.8087/8119.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini