Ringgit kembali meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat



KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan sentimen di pasaran tempatan bertukar positif berikutan keputusan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh di sebalik persekitaran cabaran luaran yang tidak menentu.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1760/1810 berbanding dolar AS berbanding 4.1920/1950 semalam.

“Meskipun wujud ketidaktentuan luaran termasuk perang perdagangan antara AS-China yang masih berlaku dan ketidakstabilan politik di Hong Kong, berita baik di peringkat tempatan seumpama ini (keputusan KDNK) adalah rangsangan kepada pasaran.

“Pelabur menyambut baik keputusan itu,” kata seorang pegawai kanan bank kepada Bernama.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus pada suku kedua 2019 daripada 4.5 peratus pada suku pertama, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta lebih tinggi.

Mengumumkan perkara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan permintaan domestik meningkat 4.6 peratus manakala penggunaan swasta berkembang 7.8 peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan Malaysia terus meningkat disebalik cabaran global, disokong pemulihan daripada gangguan bekalan komoditi dan prestasi lebih baik dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

Berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit turut diniagakan lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding dolar AS kepada 3.0097/0140 daripada 3.0173/0199 pada Khamis, naik berbanding yen Jepun kepada 3.9230/9288 daripada 3.9570/9609 dan menokok berbanding euro kepada 4.6283/6346 daripada 4.6737/6787.

Bagaimanapun, unit tempatan menyusut berbanding pound kepada 5.0763/0828 daripada 5.0706/0760 berikutan selera ke atas mata wang Britain mengukuh berikutan perkembangan politik terbaharu negara itu, dengan pendekatan kerajaan Britain mengambil langkah untuk menangani Brexit.

Keyakinan terhadap pakej rangsangan European Central Bank turut membantu peningkatan pound Britain. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini