Ringgit susut menjelang simposium Jackson Hole - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut menjelang simposium Jackson Hole



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan dagangan suram menjelang simposium Jackson Hole yang amat dinantikan.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1880/1910 berbanding dolar AS daripada 4.1750/1800 pada Rabu.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes berkata dagangan ringgit hari ini amat suram memandangkan pasaran menunggu hasil persidangan tahunan Jackson Hole oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai pengurangan kadar faedah AS akan datang dan hala tuju rundingan perdagangan AS-China.

Pengerusi Fed, Jerome Powell akan menyampaikan ucapan semasa simposium perbankan pusat tahunan yang berlangsung di Jackson Hole, Wyoming, esok.

“Kenyataan Fed jika menunjukkan ia memihak kepada kadar faedah rendah semasa simposium itu sewajarnya memberi dorongan kepada ringgit.

“Bagaimanapun untuk ringgit mencatatkan kenaikan ketara di bawah paras 4.15, keadaan perang perdagangan perlu mencapai satu situasi lebih baik secara ketara,” katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0197/0221 daripada 3.0186/0226 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.9365/9404 daripada 3.9202/9264.

Ringgit juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.0813/0854 daripada 5.0634/0703 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.6407/6449 daripada 4.6317/637.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini