Ringgit ditutup kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penurunan empat hari berturut-turutnya untuk ditutup kukuh hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas penyedia indeks FTSE Russell memutuskan untuk mengekalkan bon Malaysia dalam senarai pemerhatian pendapatan tetapnya.

Pada 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.1860/1900 berbanding dolar AS, meningkat 70 mata asas daripada paras penutup 4.1930/1980 pada Khamis.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit mencatatkan prestasi lemah seiring dengan kebanyakan mata wang Asia bagi minggu ini, apabila pengelakan risiko merangsang kekukuhan dolar AS.

"Keputusan FTSE Russell untuk mengekalkan bon Malaysia dalam indeks penanda arasnya, Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) menyokong ringgit dalam tempoh sementara ini," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata risiko disingkirkan daripada indeks itu masih lagi ada, apabila pelabur terus memantau bagaimana penggubal dasar boleh meningkatkan kecairan dan akses pasaran.

Pada penutup, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0292/0325 daripada 3.0347/0392 pada Khamis dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8774/8818 daripada 3.8958/9011.

Berbanding euro, unit tempatan mengukuh kepada 4.5732/5793 daripada 4.5842/5914 manakala berbanding pound Britain, ia meningkat kepada 5.1433/1499 daripada 5.1658/1736.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) dalam satu nota penyelidikan berkata berita bahawa bon Malaysia kekal berada dalam senarai pemerhatian FTSE Russell menyediakan sentimen positif kepada ringgit, meskipun senarai pemerhatian yang dikemas kini akan disediakan dalam kajian semula interim seterusnya pada Mac 2020.

Oleh itu, ia menjangka ringgit akan meningkat beransur-ansur berbanding dolar AS ke arah penghujung tahun.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran berkenaan juga akan disokong oleh Belanjawan Pengembangan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Okt, ditambah dengan penyambungan semula rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dari 10-11 Okt yang dijangka meredakan sedikit ketegangan perdagangan.

"Dengan mengambil kira semua faktor itu, kami mengunjurkan ringgit diniagakan pada 4.15 berbanding dolar AS pada akhir 2019.

"Begitu juga, kami menjangkakan unit tempatan berada pada purata 4.15 berbanding dolar AS bagi tahun 2019," kata firma itu sambil menambah setakat ini bagi tahun ini, ringgit berada pada purata 4.13 berbanding dolar AS.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini