KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus didagangkan dalam sentimen berhati-hati minggu depan, didorong oleh unjuran ekonomi bercampur-campur di pasaran domestik dan global selain ketidakpastian membabitkan persetujuan perdagangan Amerika Syarikat -China.
Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata perkembangan sekitar perbincangan perdagangan AS-China akan terus menjadi pemacu utama sentimen pasaran berikutan tindakan pelabur global yang terus menunggu pemeteraian rasmi ‘fasa pertama’ perjanjian antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu.
“Walaupun sentimen optimis itu amat ketara di pasaran, namun pemeteraian secara rasmi itu pasti melonjakkan peningkatan mata wang Asia,” katanya.
Di peringkat tempatan, Tan berkata pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga tidak lama lagi akan menjadi antara perkara yang menjadi tumpuan para pelabur.
“Sebarang kejutan positif melebihi paras 4.4 peratus yang dijangkakan pasaran akan dapat membantu prestasi positif ringgit.
“Naratif membabitkan daya tahan ekonomi Malaysia dijangka akan diperkukuhkan oleh pengumuman pengeluaran industri Malaysia bagi September memandangkan petunjuk ekonomi ini telah mencatatkan pertumbuhan tahunan untuk setiap bulan sejak Februari 2013,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit muncul mata wang kedua terbaik Asia dari segi prestasi, berbanding dolar AS iaitu di belakang yuan China manakala kadar dolar US berbanding ringgit mencecah paras paling lemah sejak akhir Julai lepas.
“Mata wang tempatan itu mendapat sokongan daripada peningkatan yuan ketika mata wang Asia lainnya menerima kesan
sentimen terhadap risiko. Pada Selasa, Bank Negara Malaysia bertindak mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.0 peratus yang terbukti menyokong ringgit untuk mengukuh berbanding dolar AS pada minggu ini,” katanya.
Tan berkata, selain kejutan negatif dalam angka eksport Malaysia pada September, ringgit dilihat masih mampu mengukuh berbanding dolar AS, sekali gus membuktikan bahawa faktor luaran terus menjadi pengaruh utama prestasi unit tempatan itu.
Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.1310/1360 berbanding minggu sebelum ini pada 4.1640/1670.
Selain itu, ringgit turut mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lainnya pada Jumaat.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0377/0418 daripada 3.0649/0683 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7774/7830 daripada 3.8538/8569 pada minggu lepas.
Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.5594/5666 daripada 4.6420/6470 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2906/2986 daripada 5.3915/3963, sebelum ini.