Ringgit kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kukuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada dagangan awal hari ini berikutan peningkatan permintaan terhadap unit tempatan itu susulan laporan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China disambung semula, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.09 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1750/1790 berbanding dolar US daripada 4.1775/1795 sewaktu ditutup pada Khamis.

Public Investment Bank menerusi satu nota penyelidikannya berkata rundingan dagangan antara AS-China itu akan diadakan walaupun wujud ketidakpastian membabitkan pertemuan Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya, Xi Jinping berikutan pembatalan mengejut sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2019 di Chile, pertengahan bulan ini.

Kedua-dua pemimpin itu sepatutnya bertemu dalam persidangan berkenaan.

Ketua perunding AS dan China akan mengadakan rundingan menerusi telefon pada Jumaat, demikian menurut Kementerian Perdagangan China.

“Wakil perdagangan China dan AS terus menjalin komunikasi dan setakat ini perkembangan rundingan adalah lancar kerana kedua-dua pihak akan meneruskan rundingan dan kerja lain sebagaimana dirancangkan sebelum ini,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0694/0728 daripada 3.0670/0689 dan turun berbanding yen kepada 3.8668/8716 daripada 3.8570/8599.

Unit tempatan itu turut susut berbanding pound British kepada 5.4070/4126 daripada 5.4044/4087 dan mengukuh berbanding Euro pada 4.6572/6629 daripada 4.6629/6668.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini