Ringgit kembali naik berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali naik berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar AS hari ini, dipacu oleh kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu susulan kemelut politik beserta perkembangan rundingan dagangan antara Washington-Beijing.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada paras 4.1400/1440, semalam.

Ketua Strategis Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata ringgit terkesan sedikit selepas Presiden China Xi Jinping bertindak membatalkan hasratnya untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, sekali gus menamatkan kemungkinan pertemuannya dengan Presiden Donald Trump.

Sidang kemuncak di Davos, Switzerland dijadual berlangsung pada 21-24 Januari depan.

Di peringkat tempatan, beliau berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) yang lebih rendah daripada jangkaan dan mengukur inflasi teras sebaliknya hanya mencetuskan reaksi yang minimum.

IHP meningkat 0.9 peratus pada November 2019 kepada 122.1 berbanding 121.0 pada bulan sama tahun lepas berikutan indeks barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi (2.5 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus); pendidikan (1.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus); komunikasi (1.5 peratus) serta perabot, kelengkapan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (1.5 peratus).

“Pasaran hanya memberi reaksi kecil terhadap tindakan Bank Negara Malaysia yang tidak melaksanakan pengurangan kadar faedah baharu dan inflasi lemah itu tidak mewajarkan sebarang langkah penurunan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0518/0559 daripada 3.0542/0581 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.3955/3024 daripada 5.4251/4320 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6010/6067 daripada 4.6099/6156, semalam.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.7842/7889 daripada 3.7788/7827 yang dicatatkan sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini