Pelabur jangka COVID-19 cetus kemelesetan global - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelabur jangka COVID-19 cetus kemelesetan global


GENEVA/BEIJING: Harapan supaya penularan COVID-19 dapat dibendung di China berakhir apabila virus itu merebak pantas ke seluruh dunia, dengan beberapa negara mula mengumpulkan peralatan perubatan manakala pelabur menjangkakan kemelesetan global.

Harga saham mencatatkan minggu terburuk sejak krisis kewangan global 2008 apabila gangguan berkaitan virus itu kepada perjalanan antarabangsa dan rantaian bekalan mencetuskan kebimbangan berlaku kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan Eurozone.

Pasaran saham AS jatuh ke wilayah pembetulan dengan indeks penanda aras S&P 500 susut lebih daripada empat peratus semalam, meneruskan kejatuhan yang kini menyaksikan penurunan lebih 10 peratus daripada penutup tertingginya 19 Februari lalu.

“Pasaran sedang mengundi dan merasakan bahawa AS dalam laluan ke arah kemelesetan,” kata Ketua Ahli Ekonomi MUFG di New York, Chris Rupkey.

“Secara umumnya pada tahap selepas perjalanan antarabangsa begitu perlahan sehingga menjejaskan rantaian bekalan global, adalah satu keajaiban jika kita dapat mengelakkan kemelesetan.”

China, di mana virus itu berpunca akhir tahun lalu, melaporkan 327 kes baharu hari ini, terendah sejak 23 Januari lalu.

Namun, memandangkan jangkitan baharu dilaporkan di seluruh dunia kini mengatasi China, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedua (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata negara yang kaya juga perlu bersedia.

“Tiada negara boleh menganggap ia tidak akan mencatatkan kes, itu akan menjadi satu kesilapan yang membawa bencana,” kata Tedros, merujuk kepada Itali, di mana 17 orang maut susulan wabak terburuk di Eropah.

Jadual Reuters menunjukkan hampir 10 negara melaporkan kes COVID-19 pertama dalam tempoh 24 jam lalu.

Selain menambah bekalan perubatan, kerajaan mengarahkan sekolah ditutup dan membatalkan perjumpaan besar-besaran, termasuk acara sukan, bagi menghentikan penularan COVID-19.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini