Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan pembeli, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.1350/1380 berbanding dolar AS daripada 4.1320/1350 pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran juga memberikan reaksi negatif kepada prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih lemah daripada dijangkakan.

“Tetapi dengan penularan COVID-19 yang nampaknya semakin memuncak, ia seharusnya membawa kepada persekitaran yang lebih mesra risiko dan penurunan ringgit dijangka terhad selepas mengambil kira jangkaan pertumbuhan perlahan ekonomi,” katanya.

Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menyeret turun pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, paras terendah sejak krisis kewangan 2009, di tengah-tengah gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Mengenai penilaian ringgit, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata unit tempatan itu dijangka terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran pada 2020.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9817/9858 daripada paras penutup 2.9780/9806 dan jatuh berbanding euro kepada 4.5150/5195 daripada 4.5088/5138.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7591/7625 daripada 3.7608/7639 pada Selasa tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.3668/3724 daripada 5.3456/3511.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini