Ringgit teruskan aliran meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran meningkat


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka hari ini dengan disokong permintaan lebih positif memandangkan pakej rangsangan ekonomi 2020 yang diumumkan semalam telah menambah baik sentimen pelabur, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan didagangkan pada 4.2050/2120 berbanding dolar AS daripada 4.2100/2200 ketika ditutup pada Khamis.

Semalam, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion untuk melindungi ekonomi negara daripada kesan berkaitan penularan COVID-19.

Pakej rangsangan ekonomi itu ditunjangi tiga strategi, iaitu menangani impak COVID-19; memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.

Penganalisis berkata, pakej rangsangan itu akan menyediakan beberapa jaminan pertumbuhan awal kepada ekonomi Malaysia, di samping memastikan negara berada pada asas kukuh dan daya maju ekonomi bagi jangka panjang.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0150/0211 daripada 3.0181/0264 ketika ditutup pada Khamis namun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8398/8473 daripada 3.8210/8308.

Ringgit tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4219/4314 daripada 5.4317/4459 semalam bagaimanapun lemah berbanding euro kepada 4.6234/6328 daripada 4.6032/6154.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini