Harga minyak mentah melonjak kembali, Brent AS$36.87 setong - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah melonjak kembali, Brent AS$36.87 setong


SINGAPURA: Harga minyak mentah melonjak sebanyak 7.0 peratus pada Selasa.

Lantunan semula daripada kejatuhan harian terbesar dalam tempoh hampir 30 tahun semalam.

Kenaikan hari ini juga didorong jangkaan kemungkinan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) ekoran COVID-19 meskipun perang harga antara pengeluar, Arab Saudi dan Russia belum berakhir.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau mengambil langkah utama untuk mempertahankan ekonomi AS daripada impak penularan COVID-19 dan berunding pengurangan cukai dengan kongres Republikan pada Selasa.

Kontrak hadapan Brent meningkat AS$2.51 atau 7.3 peratus kepada AS$36.87 setong pada 0418 GMT, sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$2.15 atau 6.9 peratus kepada AS$33.28 setong.

Kedua-dua kontrak penanda aras itu jatuh 25 peratus pada Isnin, merosot ke paras terendahnya sejak Februari 2016 dan mencatatkan peratusan kejatuhan seharian terbesar sejak 17 Januari 1991, apabila harga minyak mentah jatuh berikutan Perang Teluk AS.

Jumlah dagangan bagi bulan semasa untuk kedua-dua kontrak mencecah paras rekod tinggi dalam sesi sebelumnya selepas pakatan tiga tahun antara Arab Saudi dan Russia dan pengeluar minyak utama lain mengehadkan bekalan gagal pada Jumaat lalu.

“Ketika krisis, tidak ada yang lebih penting daripada memulihkan keyakinan berbanding kerajaan kelihatan tenang dan mengawal keadaan, bagaimana mungkin lemahnya kawalan,” kata Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Jeffrey Halley dalam nota penyelidikannya.

Saham Asia melonjak semula dan hasil bon meningkat daripada paras rekod rendahnya berikutan spekulasi rangsangan diselaraskan daripada bank pusat global dan kerajaan menenangkan jualan panik.

Minyak mentah juga disokong oleh harapan untuk penyelesaian dan potensi pengurangan output AS, walaupun peningkatan mungkin sementara kerana permintaan minyak terus terkesan oleh impak ekonomi penularan COVID-19, kata penganalisis.

“Rali minyak ketika ini mungkin sementara kerana pemacu untuk bekalan dan permintaan akan terus menurun buat masa ini,” kata Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Edward Moya.

Arab Saudi merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya di atas 10 juta tong sehari pada April daripada 9.7 juta tong sehari dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dan telah mengurangkan harga eksportnya untuk menggalakkan firma penapis membeli lebih banyak.

Russia, antara pengeluar minyak mentah terkemuka dunia selain Arab Saudi dan AS, juga berkata ia boleh meningkatkan pengeluaran dan negara itu boleh bertahan dengan harga minyak yang rendah selama enam hingga 10 tahun.

Pengeluar syal AS melaksanakan pengurangan perbelanjaan berterusan dan dapat mengurangkan pengeluaran selepas keputusan OPEC untuk terus menyuntik dalam pasaran global yang terkesan oleh penguncupan permintaan berikutan COVID-19.

“Apabila anda melihat leveraj industri berada pada harga sekitar AS$30, ia tidak menguntungkan,” kata Ketua Pegawai Pelaburan Probis Group, Jonathan Barratt.

“Arab Saudi dan pengeluar Asia Barat lain mempunyai kekangan belanjawan mereka, Russia memerlukan tunai dan mendapatkan modal bagi...(harga) syal mesti sekitar AS$50 setong.

“Jadi dinamik semua yang disatukan akan bermakna mereka akan mencapai persetujuan,” katanya.

Mengenai permintaan, Agensi Tenaga Antarabangsa berkata, permintaan minyak dijangka menguncup pada 2020 buat pertama kali sejak 2009.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini