Industri penerbangan, pelancongan dunia hadapi situasi getir - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Industri penerbangan, pelancongan dunia hadapi situasi getir


SYDNEY/CHICAGO: Masalah daripada penularan COVID-19 telah merebak ke seluruh dunia, apabila syarikat pelancongan di Australia dan New Zealand mengeluarkan amaran selepas syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) menghentikan penerbangan ke Eropah susulan sekatan perjalanan baharu yang dikenakan negara itu.

Sekatan perjalanan AS ke sebahagian besar negara Eropah yang diumumkan Presiden Donald Trump memburukkan lagi masalah sektor terbabit yang bermula selepas virus itu muncul di China akhir tahun lalu dan mengurangkan trafik.

United Airlines Holdings Inc memberi amaran gangguan perjalanan AS apabila virus merebak di peringkat domestik dan tarikan pelancongan utama seperti taman tema Walt Disney Co di California serta Florida masing-masing mengumumkan akan ditutup.

Syarikat itu dan American Airlines Group Inc berkata, mereka akan meneruskan penerbangan biasa ke Eropah minggu depan, namun akan mengurangkan kapasiti ke benua itu sebanyak 50 peratus bermula April.

American Airlines juga berkata, ia mengurangkan kapasiti antarabangsa sebanyak 34 peratus bagi perjalanan musim panas dan mempercepatkan penamatan operasi pesawat Boeing 757 serta 767.

Beberapa negara Amerika Latin meningkatkan langkah untuk memperlahankan penularan COVID-19 (coronavirus), dengan menghentikan penerbangan ke Eropah.

Sementara itu, lebih AS$825 juta (RM3.5 bilion) nilai kerugian dialami syarikat penerbangan senaraian awam India selepas kerajaannya mengumumkan sekatan visa lawatan.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan supaya menambah bantuan kredit, mengurangkan kos infrastruktur dan memotong cukai.

“Kebimbangan semakin memuncak lebih banyak syarikat penerbangan akan muflis pada 2020 berikutan masalah coronavirus,” kata penganalisis Cowen, Helane Becker.

Syarikat penerbangan tambang murah yang berdepan masalah aliran tunai, Norwegian Air Shuttle ASA, berkata ia akan mengurangkan 4,000 penerbangan dan menghentikan buat sementara separuh kakitangannya disebabkan penularan COVID-19.

Virgin Australia Holdings Ltd, Auckland International Airport Ltd, Flight Centre Travel Group Ltd dan Corporate Travel Management Ltd berkata, perolehan masing-masing akan terkesan berikutan permintaan perjalanan yang semakin berkurangan, termasuk penurunan 18 peratus penumpang antarabangsa di lapangan terbang Auckland pada 10 hari pertama bulan ini.

Syarikat penerbangan kedua terbesar Australia, Virgin Australia, berkata ia menawarkan tambang diskaun dan mengurangkan sebahagian penerbangan dari Sydney ke Los Angeles apabila permintaan bagi perjalanan trans-Pasifik merosot, sambil harga sahamnya mencecah paras terendah dalam sejarah.

Saham Qantas menjunam 15 peratus ke paras terendah sejak 2017.

Virgin dan Flight Centre menyertai sejumlah besar syarikat pelancongan yang membekukan pengambilan pekerja, menghentikan bonus eksekutif dan menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangan dalam usaha melindungi aliran tunai.

Saham syarikat penerbangan di Asia juga terkesan, dengan Singapore Airlines Ltd susut sembilan peratus apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mengumumkan kapasiti tempat duduk bulan ini jatuh kira-kira 30 peratus berbanding jadual asal.

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap, berkata penularan COVID-19 bermakna kemerosotan permintaan penerbangan serantau berkemungkinan merebak ke penerbangan jarak jauh, sekali gus menjejaskan kabin kelas pertama dan perniagaan.

Saham syarikat penerbangan Jepun, ANA Holdings Inc dan Japan Airlines Co Ltd (JAL) jatuh lebih daripada 10 peratus.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini