Ringgit pada paras RM4.26 sedolar, terendah sejak September 2017 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pada paras RM4.26 sedolar, terendah sejak September 2017


Ringgit susut melepasi RM4.26 berbanding dolar Amerika Syarikat, paras terendah sejak September 2017, menjejaki penurunan harga minyak mentah global yang turun lebih 5.0 peratus.

Turut membelenggu prestasi mata wang tempatan adalah pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik, sekali gus mencermin penularan yang semakin meluas.

Pengaruh pergerakan minyak mentah ke atas mata wang tempatan adalah agak besar susulan Malaysia adalah negara pengeluar petroleum ke-26 terbesar dunia.

Pada penutup, mata wang tempatan itu berbanding dolar AS menyusut kepada RM4.2645 sedolar selepas berlegar antara RM4.2460 hingga RM4.2655 berbanding dolar AS.

Di peringkat serantau turut terjejas adalah mata wang Indonesia, pengeluar minyak ke-23 terbesar dunia dengan rupiah berbanding dolar AS susut 1.19 peratus kepada 14,522, manakala Thailand, pengeluar ke-34 terbesar menyaksikan baht jatuh 0.64 peratus.

Penanda aras utama minyak mentah dunia, Brent merosot AS$2.01 atau 5.6 peratus kepada AS$33.78 setong pada 0930 GMT.

Prestasi suram juga turut dicatatkan dalam pasaran saham tempatan dengan memperlihatkan Indeks FBM KLCI ditutup rendah 24.40 mata atau 1.69 peratus kepada 1,419.43 berbanding 1,443.83 pada Rabu.

Dalam pada itu, kontrak hadapan semasa minyak sawit mentah (MSM), Mei 2020 merosot RM82 kepada RM2,277 satu tan.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata harga jika harga minyak mentah yang rendah ini kekal tempoh yang lama, ia akan terus memberi tekanan kepada ringgit.

Beliau berkata, jika jangkaan krisis kecairan yang dijangkakan berlaku dalam pasaran AS akan menambahkan risiko kepada pembelian mata wang tempatan.

“Keadaan ini boleh mencetuskan pengeluaran secara besar-besaran dari pasaran ekuiti dan bon tempatan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, AmBank Research berkata, dengan COVID-19 kini diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di tambah pula dengan perang harga minyak, ia akan mencetus pergerakan turun-naik yang tinggi.

Bahagian penyelidikan itu berkata, perhatian akan tertumpu kepada kenyataan Presiden AS, Donald Trump mengenai COVID-19 dan mesyuarat monetari oleh Bank Pusat Eropah (ECB), yang mana dijangkakan pelonggaran monetari.

“Di peringkat domestik, fokus akan tertumpu kepada keadaan semasa mengenai isu ekonomi yang mana menjadi tumpuan utama oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sama ada terdapat keperluan untuk menyusun semula belanjawan.

“Justeru, kami jangka ringgit diniagakan antara paras sokongan RM4.2165 dan RM4.2294 sementara paras rintangan pada RM4.2514 dan RM4.2638,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini