Emas catat kenaikan bulanan tertinggi sejak 2016 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Emas catat kenaikan bulanan tertinggi sejak 2016



SINGAPURA: Emas merekodkan kenaikan bulan tertinggi sejak 2016 apabila bank pusat utama dunia menambah rangsangan bagi memperbaiki kerosakan ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19, sekali gus meningkatkan daya tarikan logam itu sebagai alat penyimpan nilai.

Logam berharga itu diniagakan hampir ke paras tertinggi sejak 2012 selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell menyuarakan kebimbangan krisis itu akan memberi kesan ke atas ekonomi Amerika Syarikat (AS), sambil mengekalkan kadar faedah hampir sifar.

Seterusnya, Bank Pusat Eropah (ECB) akan membuat keputusan jika lebih banyak tindakan diperlukan di tengah-tengah kejatuhan bersejarah ekonomi dunia.

Awal minggu ini, Bank of Japan (BoJ) menambah rangsangan.

Emas mencatatkan rali tahun ini apabila pelabur cuba mendapatkan aset selamat di tengah-tengah penurunan ekonomi dicetuskan oleh wabak coronavirus, dengan rangsangan monetari dan fiskal mencetuskan kebimbangan terhadap kedudukan mata wang.

Pegangan dalam dagangan tukaran asing emas seluruh dunia meningkat ke tahap tertinggi, disokong oleh unjuran bahawa harganya boleh terus meningkat.

Kenaikan emas bulan ini bermakna ia meningkat bersama aset risiko lain termasuk ekuiti.

Niaga hadapan meningkat setinggi 1.1 peratus kepada AS$1,732 seauns di Comex dan diniagakan pada AS$1,726.40 di Singapura.

Spot harga emas pula stabil pada AS$1,711.47, meningkat 8.5 peratus pada April.

Dua minggu lalu, penghantaran segera logam mencecah AS$1,747.36, tertinggi sejak November 2012.

Dalam ucapannya, Powell berulang kali menggesa pendirian dasar 'wajar', dengan berkata Fed berjanji untuk mengekalkan kadar faedah hampir sifar sehingga yakin ekonomi AS dalam landasan mencapai sasaran bank pusat iaitu guna tenaga kerja maksimum dan kestabilan harga.

Pelabur juga mempertimbangkan isyarat perkembangan rawatan virus selepas Gilead Sciences Inc berkata ubat eksperimennya membantu pesakit COVID-19 pulih dengan lebih pantas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini