Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas sentimen risiko ke atas perdagangan minyak menjadi bertambah baik pada sepanjang sesi hari ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan itu diniagakan pada 4.3650/3750 berbanding dolar AS daripada 4.3880/3950 yang direkodkan semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata harga minyak menokok berikutan harapan campur tangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ini telah melemahkan permintaan untuk dolar AS berbanding mata wang yang sensitif minyak, dengan itu menguntungkan ringgit.

Perubahan positif ini berlaku selepas laporan yang mencerminkan kemungkinan OPEC+ akan mengambil langkah lanjut bagi menyokong minyak, mungkin membabitkan OPEC ++ yang diperluaskan, sekurang-kurangnya cukup untuk mengekang cabaran ketika permintaan mula stabil dan pulih.

“Pasaran mudah berubah-ubah sekarang ini kerana ia sedang menjejaki arah pasaran minyak tetapi saya fikir senario terburuk sebelum ini sudah berakhir dan harga minyak mula stabil memandangkan kepentingan terbuka sedang menurun dalam petanda niaga hadapan bagi kontrak Jun West Texas Intermediate (WTI), yang mana ini akan mengurangkan risiko penghantaran.

“Selain itu, sentimen risiko terus berjalan positif berikutan China merancang untuk menawarkan lebih banyak rangsangan,” katanya kepada Bernama.

Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain hari ini.

Ia menokok berbanding yen kepada 4.0525/0626 daripada 4.0841/0918 yang direkodkan semalam dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0582/0659 daripada 3.0676/0734.

Ringgit turut naik berbanding pound kepada 5.3964/4106 daripada 5.4122/4226 dan berbanding euro, ia meningkat kepada 4.7400/7517 daripada 4.7526/7620.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini