Nilai ringgit lonjak tinggi berbanding dolar AS, RM4.314 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit lonjak tinggi berbanding dolar AS, RM4.314 sedolar


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit melonjak tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan pengukuhan dagangan harian hampir 1.0 peratus kepada sekitar RM4.314 petang ini didorong lonjakan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia dan peningkatan harga minyak mentah global.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Mazlina Abdul Rahman, berkata prestasi ringgit dilihat akan terus bertambah baik dalam masa terdekat sejajar dengan pelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mana hampir semua sektor dan aktiviti ekonomi termasuk perkilangan dibenarkan beroperasi.

"PMI dilihat akan terus meningkat secara beransur-ansur selaras dengan perkembangan positif dalam langkah membendung COVID-19amun, PMI dijangka, namun ia akan kekal pada tahap penguncupan iaitu bawah 50 mata untuk masa terdekat ini.

"Harga minyak mentah dunia terus meningkat berikutan sentimen terhadap permintaan bertambah baik kerana perniagaan beroperasi semula di seluruh dunia.

"Faktor ini akan menyokong prestasi ringgit dalam jangka masa pendek," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ringgit mencatatkan paras tertinggi tahun ini kepada RM4.052 pada 20 Januari lalu, dengan paras terendah pula ialah RM4.449 yang dicatatkan pada 23 Mac lalu.

Turut mencatat peningkatan adalah Bursa Malaysia apabila ditutup tinggi kepada 1,490.14, naik 16.89 mata berbanding penutup Jumaat lalu.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan momentum meningkatnya minggu lalu dengan dibuka tinggi 1.61 mata kepada 1,474.86 berbanding 1,473.25 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Sementara itu, harga minyak sawit juga meningkat lebih 2.0 peratus kepada sekitar RM2,314 satu tan.

PMI Pembuatan Malaysia bagi Mei 2020 naik dengan ketara kepada 45.6 daripada rekod terendah 31.3 pada April 2020.

PMI keseluruhan IHS Markit adalah petunjuk angka tunggal komposit prestasi pembuatan.

Dalam kenyataan hari ini IHS Markit berkata, sektor pembuatan Malaysia menunjukkan tanda-tanda menghampiri kestabilan pada pertengahan suku kedua, dengan kadar pengurangan output, tempahan baharu dan pekerjaan semuanya berkurang.

Untuk tempoh jangka panjang, Mazlina berkata, MIDF Research menjangkakan faktor seperti Pilihan Raya Presiden AS dan kestabilan politik dalam negara akan mempengaruhi prestasi ringgit.

"MIDF Research menjangkakan Ringgit pada tahap 4.25 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi dunia dijangka mencetuskan permintaan positif minyak mentah memberi kesan positif kepada ringgit.

"Harga minyak dunia yang meningkat telah membantu kenaikan ringgit. Berdasarkan situasi semasa, saya menjangkakan ringgit terus mengukuh pada jajaran 4.30 hingga 4.25 berbanding dolar AS," katanya.

Berkongsi nada sama, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata kenaikan ringgit pada sesi dagangan hari ini disokong pemulihan harga minyak dan momentum positif pasaran saham tempatan.

"Lonjakan nilai ringgit berbanding dolar AS disebabkan pemulihan harga minyak mentah selain turut disokong keadaan pasaran ekuiti Malaysia yang menunjukkan aliran menaik. Namun, saya percaya ia adalah bersifat jangka pendek," katanya.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata ringgit dijangka didagangkan tinggi berbanding dolar AS sepanjang minggu ini disokong data PMI yang melonjak di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, pasaran mata wang termasuk ringgit menerima sentimen menaik sejak dagangan pagi ini termasuk disokong kenyataan Trump yang menarik balik status khas Hong Kong atas undang-undang keselamatan yang baru dikenakan China.

"Hari ini kami menerima 'longgokan' PMI di mana seluruh pasaran Asia kecuali Jepun memiliki PMI yang positif termasuk Malaysia. Ia jelas memberi gambaran bahawa berlakunya pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan lonjakan semula dalam aktiviti ekonomi pasca COVID-19 di rantau ini.

"Pemulihan ini turut memberi sokongan kepada pasaran saham dan mata wang di Asia termasuk di negara membangun seperti Malaysia," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini