Ringgit dibuka tinggi, dijangka cecah RM4.15 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi, dijangka cecah RM4.15

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini untuk hari ketiga berturut-turut, disokong oleh permintaan baharu untuk unit tempatan yang mencatatkan paras tinggi lima bulan semalam.

Aktiviti berterusan pelabur yang mahu mengaut keuntungan juga mendorong kepada pengukuhan ringgit.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1820/1880 berbanding dolar AS daripada 4.1880/1920 ketika dicatatkan pada pukul 6 petang Khamis.

Seorang peniaga berkata, ringgit akan terus mengukuh, dipengaruhi terutama oleh pemulihan minyak mentah yang didagangkan melepasi paras AS$45 setong untuk pertama kalinya sejak Mac tahun ini, didorong oleh pengambilan inventori yang lebih baik.

Untuk hari ini, pelabur akan memantau kadar pengangguran negara sebagai petunjuk kepada prestasi ekonomi, kata beliau.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata penganalisis minyak memandang rendah terhadap daya tahan mutlak komuniti perdagangan minyak untuk melihat kelemahan permintaan minyak pada Julai berbanding September.

"Dua perkara yang mungkin menjejaskan sedikit dagangan ringgit ialah data gaji bukan ladang yang akan diumumkan malam ini dan rundingan perdagangan antara AS dan China pada 15 Ogos.

"Sekiranya yang bahagian kedua itu dapat diselesaikan dan harga minyak boleh memulakan paras baharu Brent pada AS$45 setong ke atas , nilai ringgit berbanding dolar AS mungkin boleh mencecah 4.15," kata beliau kepada Bernama.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan tinggi.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0541/0601 daripada 3.0558/0599 semalam dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9610/9670 daripada 3.9663/9708.

Berbanding pound Britain, unit tempatan meningkat kepada 5.4939/5022 daripada 5.5177/5234 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9645/9728 daripada 4.9665/9730 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini