Ringgit dijangka diniagakan RM4.165-4.185 minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan pada paras 4.165 hingga 4.185 pada minggu depan, didorong oleh faktor luaran termasuk hala tuju dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga minyak, kata penganalisis.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata dolar AS itu tidak dijangkakan mencatat peningkatan ketara apabila pedagang mengurangkan dedahan mereka terhadap mata wang negara maju itu.

"Saya menjangkakan ringgit akan mengalami fasa konsolidasi minggu depan ketika pedagang lebih tertarik kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi di peringkat domestik dan serantau.

"Paras 4.17 kekal menjadi paras sokongan kukuh dan saya berpendapat ringgit diniagakan sekitar 4.165 hingga 4.185 pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan tinggi pada awal minggu ini, malah mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada Rabu apabila dolar AS terus kehilangan arah dan susut di tengah-tengah kadar faedah terendah.

Namun, ringgit susut berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung.

Rizab Persekutuan AS mengumumkan minit-minit mesyuarat berlangsung pada Julai lalu yang menekankan keperluan sokongan ekonomi berterusan pada akhir bulan itu ketika pandemik COVID-19 terus menular dan menyebabkan jutaan pekerja terperuk di rumah selain mengancam pertumbuhan ekonomi negara maju itu.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS itu akan mengadakan mesyuarat berikutnya pada 15 dan 16 September ini.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1780/1800 daripada 4.1910/1950 pada minggu sebelumnya.

Ringgit sebaliknya mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding yen kepada 3.9561/9583 daripada 3.9260/9308 pada minggu lepas dan tinggi berbanding euro pada 4.9355/9383 daripada 4.9416/9472.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0528/0553 daripada 3.0518/0554 dan renda berbanding pound Britain kepada 5.5012/5046 daripada 5.4785/4854 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini