Ringgit ditutup kukuh, teruskan peningkatan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh, teruskan peningkatan


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan peniaga terus yakin minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS akan mengukuhkan jangkaan pasaran mengenai kenyataan memihak kepada kadar faedah rendah oleh bank pusat itu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1800/1850 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1960 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes, berkata susulan harga minyak mentah yang stabil, ringgit dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dilihat menarik daripada perspektif hasil sebenar.

"Bagaimanapun ringgit terus akan menjejaki mata wang negara G10 yang lebih meluas berikutan kelemahan dolar," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata, inflasi yang rendah memberi lebih banyak petunjuk kepada Bank Negara Malaysia untuk menurunkan kadar faedah, sekali gus menggalakkan pertumbuhan dan aliran bon, katanya.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia merosot 1.3 peratus pada Julai 2020 kepada 119.9 daripada 121.5 dalam bulan sama tahun lalu.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0625/0666 daripada 3.0597/0650 ketika ditutup semalam dan susut berbanding yen kepada 3.9576/9627 daripada 3.9391/9458.

Ringgit turun berbanding pound kepada 5.5051/5133 daripada 5.4952/5035 semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.9746/9818 daripada 4.9672/9756.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini