Kadar faedah kekal, ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kadar faedah kekal, ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, sehari selepas Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Pada 6 petang ini, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1510/1550 berbanding dolar AS daripada paras 4.1620/1660 sewaktu ditutup pada Khamis.

"Pasaran ternyata menyambut baik langkah bank pusat yang dilihat sebagai yakin dalam unjurannya sebagaimana yang dipaparkan oleh BNM semalam," kata Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes kepada Bernama.

Kenyataan dasar monetari BNM itu juga lebih ketara dengan pendirian neutral dan melihat aktiviti ekonomi semakin baik berbanding keadaan sebaliknya pada April, berdasarkan indikator pasaran tenaga kerja, perbelanjaan isi rumah dan data dagangan.

Di peringkat global, BNM turut melihat peningkatan ekonomi dunia dengan kelonggaran sekatan pergerakan yang memacu kebanyakan ekonomi selain dasar yang kukuh.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0384/0420 daripada 3.0426/0467 pada Khamis dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9076/9124 daripada 3.9220/9261 semalam.

Ringgit turut melonjak berbanding pound Britain kepada 5.3104/3167 daripada 5.4198/4266 namun susut berbanding euro kepada 4.9281/9332 daripada 4.9266/9330.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini