Ringgit cecah paras tertinggi dalam tujuh bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah paras tertinggi dalam tujuh bulan


KUALA LUMPUR: Penurunan dolar Amerika Syarikat (AS) dan minat risiko yang mengukuh telah menyokong ringgit untuk ditutup di paras tertingginya dalam tempoh tujuh bulan.

Pada penutup, mata wang berada pada 4.1400/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1680 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata dolar AS terus mencatatkan prestasi lemah selepas Simposium Jackson Hole.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang tinggi meningkatkan permintaan terhadap unit tempatan.

"MGS menerima permintaan asing yang tinggi berikutan jangkaan satu lagi penurunan kadar pada September.

"Malaysia juga menjadi negara contoh bagi usaha memerangi pandemik COVID-19 susulan bilangan kesnya yang rendah," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Innes berkata lebih banyak petanda positif daripada pemulihan ekonomi China dengan aktiviti pembuatan pada Ogos melonjak ke paras tertingginya sejak Januari 2011, juga memacu pergerakan risiko dalam komoditi hari ini dan menjadi sokongan yang baik bagi ringgit.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Caixin meningkat kepada 53.1 pada Ogos daripada 52.8 pada Julai.

Di dalam negara, IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada Ogos tetapi hilang momentum yang dilihat semasa lantunan semula awal selepas perintah kawalan pergerakan dan bacaan terkini adalah susulan pengembangan pada Jun dan pertumbuhan seterusnya pada Julai.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0490/0539 daripada paras 3.0581/0629 pada Jumaat dan naik berbanding yen kepada 3.9149/9207 daripada 3.9393/9444.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.5671/5742 daripada 5.5251/5322 dan susut berbanding euro kepada 4.9593/9665 daripada 4.9486/9562 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini