Ringgit terajui mata wang serantau, RM4.1425 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terajui mata wang serantau, RM4.1425 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit menerajui pengukuhan mata wang ekonomi baru muncul serantau berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini, apabila mencatat paras tertingginya sejak Februari iaitu RM4.1425 sedolar atau sekitar 0.5 peratus.

Turut menerajui peningkatan adalah yuan China, manakala rupiah Indonesia lemah selepas kerajaan republik itu berhasrat untuk memainkan peranan dalam menetapkan peraturan bank pusatnya.

Untuk tahun ini, ringgit mencatat paras penutup tertinggi berbanding dolar AS pada 17 Januari lalu iaitu RM4.0547 sebelum lemah ke paras terendah iaitu RM4.447 sedolar pada 23 Mac lalu susulan kemuncak penularan COVID-19.

Bagaimanapun apabila penularan mulai reda dan pembukaan ekonomi dilaksanakan, mata wang tempatan kembali mengukuh secara berperingkat.

Prospek positif ekonomi Malaysia disokong langkah holistik kerajaan membendung penularan COVID-19 mencetuskan peningkatan nilai ringgit, sekali gus membolehkannya menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di ASEAN kebelakangan ini, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, baru-baru ini dilaporkan berkata ringgit meneruskan prestasi amat memberangsangkan apabila nilainya terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Peningkatan ringgit seiring angka jangkitan COVID-19 yang kekal rendah di Malaysia berbanding negara lain. Ia (pengukuhan nilai ringgit) juga disokong kejatuhan dolar AS yang turut memberi manfaat kepada matawang Asia yang lain," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, pengukuhan ringgit turut disokong kemasukan pelabur asing dalam pasaran bon yang meningkat ketara apabila belian bersih yang direkodkan adalah RM7.1 bilion bulan lalu.

Katanya, pasaran bon Malaysia merekodkan peningkatan bulan ketiga berturut-turut susulan belian bersih daripada pelabur asing sekali gus memberi impak positif kepada ringgit.

"Kebanyakan pelabur asing begitu berminat untuk membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang mana peratusan milikan asing terus meningkat kepada 38.2 peratus pada Julai berbanding 36.8 peratus pada Mac iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini