Ringgit dibuka hampir tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka hampir tidak berubah



KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit tidak banyak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka pagi ini terutama menjelang pengumuman data perdagangan untuk bulan September hari ini.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1660/1720 berbanding mata wang dolar daripada 4.1650/1700 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata penyebab kepada sebarang halangan terhadap ringgit ialah data perdagangan itu yang dijangka lemah memandangkan pertumbuhan eksport mungkin perlahan berikutan pengukuhan mata wang tempatan.

"Tetapi sekiranya ada kejutan positif, ia baik untuk ringgit," kata beliau kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata para peniaga mungkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk melupakan bahawa Malaysia masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE walaupun ini telah dijangkakan.

"Dalam pada itu, data keuntungan perindustrian China amat menggalakkan ketika diumumkan pada hujung minggu dan seharusnya dapat membantu ringgit.

"Tetapi aliran perdagangan masih lagi menunjukkan kebimbangan berkenaan risiko pilihan raya AS yang menyaksikan peniaga membeli dolar dan perbendaharaan AS. Ini membabitkan sebahagian besar ringgit akhir-akhir ini," tambah beliau.

Pada Julai, perdagangan Malaysia merosot 2.2 peratus kepada RM159.9 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.

Eksport terus merekodkan pertumbuhan positif pada Julai 2020, meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.5 bilion, paling tinggi sejak November 2018. Sebaliknya, nilai import turun 8.7 peratus kepada RM67.4 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.4 peratus.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0252/0307 daripada 3.0264/0307 pada Jumaat tetapi lemah berbanding yen kepada 3.9514/9583 daripada 3.9490/9549.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8396/8483 daripada 4.8489/8564 sebelumnya tetapi lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3141/3226 daripada 5.3008/3088.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini