Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh disokong oleh data pekerjaan, yang menunjukkan kadar pengangguran menurun dan hasil Perbendaharaan AS yang meningkat.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1600/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1600 semasa ditutup pada Isnin.

Seorang peniaga berkata ringgit adalah mata wang Asia yang mencatatkan prestasi terbaik, mendapat manfaat daripada dolar AS yang rendah dan permintaan terhadap unit tempatan.

"Kami menjangka ruang untuk ringgit menguji paras 4.12 hingga 4.13 berbanding dolar AS pada minggu ini," katanya.

Keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia pada 10 September akan menjadi penting apabila penurunan kadar tidak dilakukan dijangka dapat mengukuhkan lagi kenaikan ringgit, katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turut diniagakan bercampur-campur.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0416/0491 daripada 3.0411/0452 pada Isnin dan susut berbanding yen kepada 3.9149/9247 daripada 3.9113/9171.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.4712/4848 daripada 5.4804/4887 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.9105/9235 daripada 4.9145/9209.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini