Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan kukuh baru-baru ini.

Bagaimanapun, unit tempatan dapat bertahan di paras 4.14 untuk ditutup pada 4.1470/1520 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.1420/1450 ketika ditutup hari sebelumnya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan ketara ringgit baru-baru ini boleh menjadi antara faktor yang mendorong aktiviti pengambilan untung.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategik Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata pelabur mengurangkan pegangan masing-masing menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang AS bagi Ogos.

"Tumpuan lebih besar diberikan terhadap laporan pekerjaan selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan menekankan bahawa mereka memantau rapat data berkenaan dan bersikap terbuka sekiranya pekerjaan mengatasi sasaran dasar sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Data Ogos itu menyediakan petunjuk terkini mengenai pemulihan AS.

Pada Julai, majikan AS menambah 1.76 juta pekerjaan, manakala kadar pengangguran susut kepada 10.2 peratus daripada 11.1 peratus sebelum ini.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0458 daripada 3.0351/0380 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.9042/9100 daripada 3.8929/8968.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.5143/5213 daripada 5.4981/5037 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.9150/9214 daripada 4.8967/9015.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini