Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kebanyakannya lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan kelemahan sentimen dalam pasaran ekuiti, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1550/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1520 semasa ditutup Jumaat lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit merosot disebabkan oleh kejatuhan dalam saham-saham Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat sebelum ini sehingga menjejaskan sentimen risiko global, yang kemudiannya diburukkan lagi dengan harga minyak yang lebih rendah.

"Pasangan ringgit/dolar AS meleret kembali ke tahap rintangan utama pada 4.1550," katanya kepada Bernama.

Brent turun 1.76 peratus kepada AS$41.91 setong berikutan laporan bahawa Arab Saudi mengurangkan harga untuk jualan minyak mentah pada Oktober depan, disebabkan pengurangan permintaan yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

Ia naik berbanding pound British kepada 5.4804/4887 daripada 5.5143/5213 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9145/9209 daripada 4.9150/9214 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0411/0452 daripada 3.0410/0458 dan menurun berbanding yen kepada 3.9113/9171 daripada 3.9042/9100.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini