Ringgit ditutup rendah tiga hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah tiga hari berturut-turut



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1700/1740 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1700 pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata dolar AS berada pada aliran selamat, bagaimanapun jualan ringgit baru-baru ini dan dengan kes COVID-19 tempatan yang meningkat, menjadi halangan kepada kemajuan yang seterusnya.

Malaysia mencatatkan 100 kes baharu COVID-19 pada Selasa dan 24 kes baharu hari ini.

"Bukan semua berita buruk, sentimen risiko global cuba meningkat semula, dengan harga minyak naik sedikit dan menampung penurunan semasa ditutup," katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, minyak mentah Brent naik 1.38 peratus kepada AS$40.33 setong.

Sementara itu, BNM dijangka mengumumkan keputusannya mengenai sama ada ia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa pada 1.75 peratus, paras terendah dalam sejarah, atau mengurangkannya lagi sebanyak 25 mata asas selepas mesyuarat MPC esok.

"Saya fikir penurunan kadar oleh BNM akan diterima dengan baik oleh pasaran mata wang berikutan ia baik untuk pertumbuhan domestik, dan pasaran saham," kata Innes.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.3985/4053 daripada 5.4412/4494 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.9060/9124 daripada 4.9118/9185 semalam.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0447/0487 daripada 3.0399/0458 sebelum ini dan merosot berbanding yen kepada 3.9314/9363 daripada 3.9156/9214.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini