Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seiring prestasi penyusutan mata wang Asia serta data eksport Malaysia yang rendah bagi Ogos.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.1730/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1700 pada Jumaat lalu.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran turut memberi reaksi berikutan angka dagangan yang disifatkan memaparkan keadaan perdagangan global yang suram.

"Ini jelas menunjukkan bahawa rantaian bekalan masih terjejas apabila dunia mengetepikan aspek globalisasi untuk sementara waktu ini ketika negara-negara sebaliknya mengutamakan pembelian barangan tempatan.

"Pada masa sama, ini turut menggambarkan bahawa ekonomi global memerlukan tempoh lama untuk pulih semula walaupun kalangan pembuat dasar atau kerajaan melaksanakan pelbagai langkah rangsangan," katanya.

Angka eksport bagi Ogos 2020 susut 2.9 peratus kepada RM79.14 bilion bagi tahun ke tahun dengan jumlah dagangan berkurangan 4.6 peratus kepada RM145.06 bilion berbanding Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0340/0385 daripada 3.0264/0307 sewaktu ditutup pada Jumaat dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3615/3687 daripada 5.3008/3088.

Ringgit juga susut sedikit berbanding euro kepada 4.8590/8665 daripada 4.8489/8564 sebelum ini dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.9611/9662 daripada 3.9490/9549.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini