Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selaras dengan mata wang pasaran baharu muncul yang lain apabila dolar AS terus melemah akibat peningkatan COVID-19 termasuk peralihan politik di AS.

Pada 6 petang, mata wang domestik itu naik kepada 4.1440/1490 berbanding dolar AS daripada 4.1510/1550 yang direkodkan semasa Jumaat lalu.

Penganalisis berkata, penurunan dolar AS dolar dijangka berlanjutan sehingga November memandangkan AS akan mengalami pemilihan Presiden pada 3 November depan.

"AS terus mencatatkan kenaikan kes COVID-19 setiap hari, ini memberikan cabaran yang besar kepada sesiapa saja yang memegang kuasa dalam penggal seterusnya. Tumpuan mereka juga diperlukan bagi membina semula ekonomi negara yang telah mengalami heretan disebabkan pandemik," katanya.

Sehingga hari ini, AS telah mencatatkan 33,369 kes baharu dengan 399 kematian, menjadi jumlah keseluruhan kepada 6.54 juta kes dengan 194,000 kematian.

Bagaimanapun, beliau berkata, berbanding dengan mata wang lain, ringgit mungkin berada di bawah tekanan selepas harga minyak terus merosot akibat permintaan kekal perlahan.

Pada penutup, penanda aras minyak mentah Brent didagangkan pada AS$39.48 setong berbanding dengan AS$40.12 setong yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Berbanding dengan mata wang utama yang lain, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0321/0369 daripada 3.0384/0420 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9119/9195 daripada 4.9281/9332.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu menyusut berbanding pound kepada 5.3230/3315 daripada 5.3104/3167 dan jatuh berbanding yen kepada 3.9080/9138 daripada 3.9076/9124. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini