Ringgit kekal paras tertinggi tujuh bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal paras tertinggi tujuh bulan


KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak yang mengukuh serta momentum hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang menggalakkan terus menyokong ringgit yang bertahan pada paras tertingginya dalam tempoh tujuh bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, walaupun ditutup tidak banyak berubah berbanding semalam.

Pada penutup, mata wang tempatan berada pada 4.1430/1490 berbanding unit negara maju itu daripada 4.1400/1450 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit merosot menghampiri paras 4.15 pada pembukaan didorong dolar AS yang lebih teguh, namun meningkat semula berikutan sentimen yang positif.

"Pelabur yang mencari hasil jangka panjang melihat pulangan sebenar yang amat memberangsangkan daripada MGS berikutan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka sekali lagi mengurangkan kadar faedah. Ini adalah pemacu penting kepada momentum itu," katanya kepada Bernama.

Ramai pihak menjangkakan BNM mungkin melaksanakan pengurangan sebanyak 25 mata asas yang terakhir bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) pada 10 Sept 2020.

"MSM kekal didorong. Begitu juga harga minyak mentah telah menokok untuk lima hari berturut-turut berikutan permintaan dari China, ditambah dengan kebimbangan mengenai pengeluaran berikutan broker bimbang menjelang anggaran pengeluaran oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia pada minggu ini," kata Innes.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate masing-masing berlegar pada paras AS$45.68 dan AS$42.89 setong di tengah-tengah penyusutan simpanan stok Amerika Syarikat.

Institut Petroleum Amerika (API) semalam melaporkan inventori minyak mentah AS bagi minggu yang berakhir 28 Ogos berkurangan 6.4 juta tong berbanding penurunan 4.5 juta tong bagi minggu yang berakhir 21 Ogos.

Harga fizikal MSM berada pada RM2,900 satu tan semalam untuk September Selatan.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0445/0494 daripada 3.0490/0539 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.9037/9101 daripada 3.9149/9207 semalam.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5367/5451 daripada 5.5671/5742 dan menokok berbanding euro kepada 4.9173/9261 daripada 4.9593/9665 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini