Ringgit teruskan aliran menurun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran menurun


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan hari ini berikutan pengukuhan mata wang AS itu, yang dilihat sebagai mata wang selamat di tengah-tengah persekitaran politik AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1520/1570 berbanding 4.1320/1370 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pelabur beralih kepada dolar AS selepas urus niaga lindung nilai di kebanyakan pasaran menyebabkan tarikan menjadi kurang bagi memegang risiko.

"Tambahan pula, pada 29 September ini akan menyaksikan perdebatan pilihan raya AS yang pertama, yang mungkin mencerahkan beberapa kebimbangan mengenai risiko politik di negara itu," katanya.

Innes ketika mengulas mengenai pasaran tempatan, berkata ringgit terjejas teruk selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan penggubal undang-undang yang boleh mencetuskan pilihan raya segera.

"Pilihan raya seperti ini amat membimbangkan bagi pasaran mata wang. Saya rasa ini pemacu terbesar pada hari ini sehingga menyebabkan ringgit jatuh.

"Di samping itu, indeks harga pengguna Ogos (IHP) merosot lebih jauh daripada yang dijangkakan, memberikan Bank Negara Malaysia (BNM) ruang yang mencukupi bagi memperkenalkan sebarang polisi. Jadi kemungkinan, ia akan memperkenalkan kadar pengurangan dan menjejaskan ringgit bagi jangka pendek," katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IHP berkurangan sebanyak 1.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 120.1 pada Ogos 2020 daripada 121.8 yang direkodkan oleh bulan yang sama tahun lalu.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0411/0459 daripada 3.0293/0337 semalam dan susut berbanding pound British kepada 5.2872/2944 daripada 5.2836/2908.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 4.8628/8703 daripada 4.8497/8560 sebelum ini dan jatuh berbanding yen kepada 3.9539/9598 daripada 3.9514/9570.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini