Dolar AS mengukuh, ringgit merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS mengukuh, ringgit merosot



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot hari ini selepas didagangkan dalam jajaran kecil dalam persekitaran dolar yang lebih baik.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1440/1480 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1420/1460 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang utama seperti euro, yen dan pound sedikit lemah berbanding dolar AS.

Indeks Dolar AS (DXY) juga lebih tinggi, katanya kepada Bernama.

"Rangsangan fiskal AS dapat memberi banyak kesan kerana ia penting untuk memastikan pemulihan ekonomi yang teratur.

"Sekiranya rang undang-undang rangsangan ditangguhkan selepas Pilihan Raya pada 3 November ini, ketidaktentuan akan meningkat yang mengakibatkan tekanan. Pada kebiasaannya senario seperti itu akan menguntungkan dolar AS," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata mata wang Asia mengalami sedikit penurunan dalam sentimen kerana People's Bank of China (PBOC) memperkenalkan langkah pelonggaran untuk mengekang kekukuhan yuan.

Dilaporkan bahawa PBOC telah menetapkan kadar rujukan harian yuan pada 6.678, 0.22 peratus lebih kukuh daripada penetapan sebelumnya pada 6.6930 dan garis panduan paling kukuh sejak 16 Julai 2018.
Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0531/0567 daripada 3.0555/0596 ketika ditutup pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.9028/9092 daripada 4.9058/9109 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding pound kepada 5.4274/4331 daripada 5.4066/4122 semalam dan susut berbanding yen kepada 3.9565/9610 daripada 3.9481/9531.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini