Dolar AS beransur pulih, ringgit dibuka tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS beransur pulih, ringgit dibuka tidak berubah

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini kerana kekurangan pemangkin baharu sementara mata wang AS pula beransur-ansur kembali pulih.
Perundingan mengenai pakej rangsangan tambahan yang terhenti sejak beberapa jam lepas telah memberikan dolar AS ruang untuk meningkat kembali setelah mencatatkan penurunan dan menguji beberapa tahap rendah, kata peniaga.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1440/1490 berbanding dolar AS daripada 4.1440/1480 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua pakar ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks dolar AS (DXY) memperoleh kembali momentum semalam kepada 93.055 di celah-celah ketidakpastian mengenai rang undang-undang rangsangan fiskal AS yang mungkin diluluskan selepas pilihan raya presiden AS pada 3 November atau awal tahun depan.

agaimanapun, beliau berkata tuntutan awal pengangguran untuk minggu berakhir 17 Oktober merosot sebanyak 55,000 kepada 787,000, sekali gus mencadangkan pasaran tenaga kerja masih lagi belum terlepas daripada kejutan pandemik.

"Mata wang utama seperti euro dan pound Britain masih lemah berbanding dolar sementara yen Jepun bergerak mendatar.

"Oleh itu, ringgit akan meneruskan trajektori sedia ada iaitu antara RM4.14 dan RM4.15 berbanding dolar AS terutama ketika pasaran kekurangan pemangkin seluruh dunia.

"Di dalam negara, pelabur masih menantikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dan pembentangan Belanjawan 2021 pada awal November untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk sebelum mengemukakan pendapat mereka mengenai prospek ekonomi dan kaitannya kepada pasaran ringgit dan kewangan," kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0527/0575 daripada 3.0531/0567 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4162/4236 daripada 5.4274/4331 sebelumnya.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding yen pada 3.9561/9612 daripada 3.9565/9610 dan mengembang berbanding euro pada 4.8895/8958 daripada 4.9028/9092.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini