Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi ini, mata wang tempatan itu berada di paras 4.1430/1480 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1440 yang dicatatkan pada penutupan dagangan semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata peningkatan kecil harga minyak susulan permintaan China dan kenaikan yuan pada pagi ini, dijangka memberi sokongan terhadap ringgit yang diunjur meningkat.

"Namun, momentum itu boleh dikekang oleh tindakan AS yang tidak mengetengahkan pakej rangsangan dan hanya menarik balik pelabur untuk memilih dolar AS," katanya.

Setakat pagi ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global adalah AS$42.48 setong.

Semalam, tumpuan terhadap ringgit ketara selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, atas alasan mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi bagi memimpin negara yang dilihat memakan masa lama untuk melenyapkan impak ketidaktentuan politik terhadap pasaran modal Malaysia.

Innes berkata, pasaran sebaliknya menyambut baik pertemuan di Istana Negara berkenaan yang boleh dilihat menerusi prestasi ringgit sewaktu dagangan ditutup semalam.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0472/0521 daripada 3.0477/0518 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3590/3659 daripada 5.4023/4092 sebelum ini.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.8660/8731 daripada 4.8798/8854 namun susut berbanding yen kepada 3.9292/9344 daripada 3.9238/9287 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini