Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan keuntungan dalam pasaran saham global berikutan perkembangan positif mengenai kesihatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.1500/1550 berbanding dolar AS daripada 4.1620/1660 yang direkodkan semasa Jumaat lalu.

Minggu lalu, Trump, Wanita Pertama Melania dan beberapa pembantu tertinggi dilaporkan telah dijangkiti COVID-19, ini menggegarkan pasaran saham AS.

Dow Jones, S&P 500 dan Nasdaq berakhir dalam wilayah negatif pada Jumaat, masing-masing menggelongsor sebanyak 0.48 peratus, 0.96 peratus dan 2.22 peratus.

Bagaimanapun, berita bahawa Trump mungkin dibenarkan keluar dari hospital lewat hari ini membantu menaikkan harga minyak sebanyak kira-kira dua peratus.

Harga minyak mentah Brent melonjak 3.57 peratus kepada AS$40.67 setong.

Selain itu, laporan berita yang menyatakan Rumah Putih sedang menyediakan satu lagi pakej rangsangan juga merancakkan lagi pasaran saham global hari ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia menjadi lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0501/0540 daripada 3.0502/0543 dan bertambah baik berbanding pound Britain pada 5.3743/3824 daripada 5.3748/3821 sebelum ini.

Mata wang tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.8792/8854 daripada 4.8766/8830 tetapi menokok berbanding yen kepada 3.9292/9347 daripada 3.9582/9631.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini